Thursday, October 15, 2009

..::Jauhi sifat-sifat keji::..

Ajaran Islam amat mementingkan keakraban hubungan persaudaraan antara individu dalam masyarakat. Salah satu amalan penting yang dimaksudkan ialah melalui tutur kata yang baik dan menyenangkan pihak lain. Justeru itu, Islam amat menegah umatnya menggunakan perkataan yang buruk dan keji. Banyak ayat al-Quran dan hadis yang menjelaskan mengenai larangan menggunakan perkataan buruk. Rasulullah SAW juga memberi amaran keras terhadap sesiapa yang mengucapkan perkataan buruk akan menerima balasan yang amat pedih.

Tegahan mengucapkan perkataan buruk penting dipatuhi bagi mengelak daripada berlakunya kesan buruk. Kini didapati, terlalu banyak perpecahan dan permusuhan yang berlaku dalam masyarakat adalah berpunca daripada kata mengata yang tidak elok. Hal ini terjadi memandangkan sudah satu perkara lumrah perasaan seseorang mudah tercabar dan ‘terbakar’ jika dia dilemparkan dengan perkataan-perkataan yang tidak baik, lebih-lebih lagi melibatkan maruh diri dan keturunan. Justeru, setiap Muslim perlu sentiasa berhati-hati ketika mengeluarkan kata-kata dan berbicara. Lidah memang tidak bertulang, tetapi bukan alasan untuk seseorang itu mudah mengeluarkan kata-kata yang tidak baik. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa.

Perhatikan kepada firman Allah SWT di dalam surah al-Humazah ayat 1, yang bermaksud:
“Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci”.

Ayat ini memberi amaran bahawa betapa besar keburukan akibat mencaci dan perbuatan seumpamanya. Allah Maha Pembalas dan Maha Adil menghukum setiap apa yang dilakukan oleh setiap orang. Orang yang mencaci adalah orang yang merasa dirinya hebat lalu mengeluarkan kata-kata yang bermaksud menghina dan memberi aib kepada orang lain. Pada masa yang sama dia berusaha untuk mengangkat status dengan cara menjatuhkan orang lain. Hakikatnya, orang yang mengeluarkan kata-kata yang tidak baik inilah sebenarnya mencerminkan dirinya sendiri seorang yang tidak baik. Sesungguhnya, hanya orang yang berperibadi buruklah yang mengeluarkan perkataan yang buruk.

Sebenarnya, individu yang selalu mengeluarkan kata-kata buruk adalah tanda dirinya tidak mendapat petunjuk daripada Allah. Hidup mereka sesat dan cuba pula mempengaruhi orang lain agar turut menjadi seperti mereka. Bahkan Rasulullah menegaskan, individu yang suka menyebut perkataan buruk bukanlah dari kalangan orang yang beriman. Golongan ini bersifat seperti orang munafik yang mengaku beriman, tetapi melakukan perbuatan yang ditegah. Sebuah hadis diriwayatkan oleh Ahmad bermaksud: “Sesungguhnya kekejian dan berbuat keji, tidak sedikitpun daripada Islam. Dan sesungguhnya manusia yang terbaik Islamnya ialah mereka yang baik akhlaknya”. Islam tidak sekali-kali membenarkan seorang muslim membuka aib muslim yang lain walaupun berkaitan perkara yang benar. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan keadaan menjadi bertambah buruk. Firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa ayat 148 yang bermaksud:

“Allah tidak mencintai orang yang suka menceritakan keburukan orang lain kecuali bagi orang yang teraniaya".

Mungkin individu yang melakukan kesalahan itu melakukannya secara tidak sengaja, atau mungkin juga dia telah menyesal melakukan perbuatan itu. Setiap antara kita tidak sunyi daripada melakukan kesalahan sama ada disengajakan atau tidak. Sekiranya perkara keaiban yang benar tidak boleh disebarkan, inikan pula perkara yang sengaja direka-reka. Menyebarkan cerita yang tidak benar mengenai seseorang untuk mendatangkan keaiban dipanggil membuat fitnah.

Apa yang berlaku kini, amalan menyebar fitnah semakin canggih dilakukan dengan alat teknologi moden. Sesuatu fitnah itu dapat disebarkan dengan mudah tanpa penyebar fitnah itu perlu bersemuka dengan orang ramai. Malah, identiti penyebaran fitnah ini juga dapat dirahsiakah menjadikan ramai di kalangan kita yang menyalahgunakan kecanggihan teknologi. Mereka menyebarkan sesuatu berita, audio mahupun visual yang seperti seakan-akan dilakukan oleh orang yang difitnah itu.

Membuat fitnah dan menyebarkan fitnah adalah antara dosa-dosa besar. Allah meletakkan dosa membuat fitnah adalah lebih buruk kesannya daripada membunuh. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 217 yang bermaksud:

“...Fitnah itu besar (dahsyat) dari melakukan pembunuhan...."

Sesungguhnya perkataan-perkataan buruk yang keluar dari mulut adalah didalangi oleh syaitan. Mereka yang bercakap itu ‘mewakili’ syaitan mengucapkan perkataan tidak baik kepada pihak lain bagi tujuan memecah belahkan hubungan baik sesama manusia. Kejayaan syaitan merosakkan hidup anak cucu Adam banyak bergantung kepada ‘pertolongan’ manusia sendiri yang ingkar kepada perintah dan amaran Allah SWT. Sesiapa yang di dalam dirinya mempunyai sifat-sifat syaitan, maka bersaksilah bahawa mereka akan menjadi teman syaitan di neraka jahanam kelak.

Sesungguhnya mencaci, mengumpat, membuat fitnah dan mengeluarkan kata-kata yang tidak baik akan memutuskan hubungan sesama Islam. Islam amat mementingkan segala yang berkaitan dengan hubungan baik sesama makhluk dan menegah sama sekali segala perbuatan yang akan menyebabkan perpecahan.

Wednesday, October 14, 2009

..::Panduan pilih pemimpin untuk pilihanraya::..

JIKA sebelum ini jarang orang berminat bercakap mengenai politik melainkan golongan yang terbabit secara langsung dengannya, tetapi kini keadaan adalah sebaliknya kerana remaja juga berminat untuk mengetahui senarionya. Topik perbualan mengenai politik tidak akan ketinggalan samada berada di rumah bersama keluarga, minum bersama teman di warung atau restoran, mengisi masa terluang di pejabat mahupun perbualan di jalanan.

Sering juga diperkatakan bahawa politik itu kotor. Tetapi, hakikatnya orang yang terbabit dengan politik yang melakukan onar seperti penyalahgunaan kuasa, politik wang, maki hamun, skandal seks itulah sebenarnya yang menyebabkan politik dipalit kekotoran. Tetapi, bagaimana Islam melihat politik dan pilihan raya itu sendiri??Nabi Muhammad SAW ketika mengembangkan Islam turut menggunakan politik.

Kamus Dewan Edisi Ketiga, mendefinisikan "politik" sebagai:
1- ilmu cara pemerintahan, ilmu siasah dan ilmu kenegaraan.
2- segala sesuatu berkenaan pemerintahan sesebuah negara atau hubungannya dengan negara lain.
3- kelicikan, muslihat atau tipu muslihat.

Takrifan ini membuktikan bahawa definisi politik adalah amat luas, bukan saja merujuk kepada pengetahuan dan kebijaksanaan dalam mentadbir negara malahan ada yang membawa maksud tipu muslihat. Jadi, tidak hairanlah jika ada pihak yang menggunakan muslihat tersendiri untuk mendapatkan pengaruh dan gelaran yang diidamkan, kerana politik itu sendiri dari satu sudut dikatakan muslihat.

Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin, berkata politik ialah keupayaan manusia mengurus sesuatu, mengikut disiplin yang ditetapkan. Beliau berkata, manusia sudah lama berpolitik malah di kalangan nabi termasuk SAW juga turut berpolitik. Allah SWT berfirman di dalam surah Thahaa, ayat 29, bermaksud:
"Dan, jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku."

Dalam Islam, urusan membabitkan pelantikan pemimpin bukan perkara sampingan atau main-main, malah ia menjadi topik khusus dalam pewarisan Nabi Muhammad s.a.w bagi memastikan agama dan politik dunia terpelihara. Justeru itu, sudah menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk melantik pemimpin bagi memastikan Islam dan umatnya terbela dan apabila dilantik ianya haruslah ditaati. Seperti kata-kata Sayidina Abu Bakar as-Siddiq ketika ia dilantik menjadi khalifah selepas wafatnya baginda Rasulullah SAW : "Taatilah kepada aku selagi aku taat kepada Allah. Sekiranya aku menyeleweng atau melanggar perintah Allah jangan taat kepada aku. Tentanglah aku sehingga aku kembali kepada hukum Allah."

Allah SWT juga berfirman di dalam surah an-Nisa ayat 59 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan rasul dan kepada ulil-amri (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya."

Nabi Muhammad SAW sudah menggambarkan terdapat pemerintah yang memerintah dengan baik dan pemerintah yang buruk. Ia juga dinamakan sebagai politik apabila seseorang itu mendengar arahan seorang pemerintah yang baik dan menghindari arahan seorang pemerintah yang buruk. Kewajipan umat Islam ke atas pelantikan pemerintah adalah fardu kifayah seperti jihad dan menuntut ilmu.

Tidak salah menggunakan sistem demokrasi walaupun asalnya ia datang dari barat kerana ada kebaikan di sebaliknya. Walaupun ada yang mengatakan tiada demokrasi dalam Islam, tetapi Islam tidak menafikan manfaat demokrasi. Malah, sistem pilihan raya seperti yang berlaku di Malaysia juga tidak mengongkong syariat Islam daripada terlaksana. Kerajaan hari ini melaksanakan pelbagai sistem Islam, seperti ekonomi Islam dan pendidikan Islam yang kesemuanya adalah lanjutan dari sistem demokrasi.

Jika ada yang mengatakan pilihanraya perlu diketepikan dan kembali kepada sistem syura seperti zaman awal Islam, bagaimana ingin kembali kepada cara sistem syura kerana sistem khalifah itu sendiri tiada. Kita tidak mampu untuk kembali kepada sistem seperti yang berlaku pada zaman khalifah, tetapi kita perlu ada cita-cita untuk ke arah itu dan oleh kerana demokrasi menjadi latar belakang pemerintahan sistem negara, jadi tidak mengapa untuk menjadikannya wahana dalam pemerintahan dan orang Islam diberikan hak memilih.

Walaupun dalam Islam tidak dinyatakan secara khusus penegasan membuang undi untuk memilih pemimpin, masih ada nas mengenai prinsip asas supaya bantu membantu dalam hal kebajikan dan bertaqwa serta melarang daripada melakukan dosa dan pencerobohan. Dalam konteks Malaysia, yang dinilai pengundi ialah calon atau ideologi politik. Mengundi asalnya adalah harus , tetapi jika calon yang baik ia menjadi sunat malah wajib, sebaliknya jika calon itu jahat maka hukumnya haram disokong. Ianya seperti melantik imam di dalam solat jemaah iaitu yang terbaik di kalangan yang sedia ada. Beberapa kriteria yang sewajarnya tersemat pada diri seorang pemimpin antaranya ialah:
-seorang yang adil dan mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam tentang agama
-sempurna pancaindera dan tidak mengalami kecacatan (jika cacat seperti buta mudah ditipu orang)
-berpandangan jauh dan pemikiran terbuka
-berwibawa dan berani mengemukakan pendapat
-bijak, tegas dan dari keturunan mulia

Umat Islam berkewajipan memilih pemimpin mengikut tuntutan syarak yang berpandukan al-Quran dan Sunnah di samping pemerintah juga wajib mendapat restu rakyat dan salah satu contoh yang boleh dijadikan panduan ialah ketika Rasullullah mendirikan kerajaan Islam Madinah termasuk ketika perlantikan Abu Bakar menjadi khalifah selepas wafatnya Nabi Muhammad.

Di dalam surah al-Baqarah ayat 247, Allah SWT berfirman yang membawa maksud:
"dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka:"Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. mereka menjawab: "Bagaimana Dia mendapat Kuasa memerintah Kami sedang Kami lebih berhak Dengan Kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan Dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". dan (ingatlah), Allah jualah Yang memberikan Kuasa pemerintahan kepada sesiapa Yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya."

Tetapi, janganlah disebabkan oleh politik menimbulkan persengketaan, sehingga anak berbalah dengan bapa, putus persahabatan dan suami isteri bercerai berai. Dalam kempen juga perlu ada etika seperti bercakap benar, menunaikan janji, tidak mengkhianati amanah yang diberikan, tidak melangkaui had apabila timbul perselisihan, tidak mengadu domba serta menabur fitnah dan sebagainya.

Oleh itu, umat Islam haruslah memilih seorang pemimpin yang beriman dan bertanggungjawab selagi ia tidak melanggar hukum syarak serta mengingkari perintah Allah SWT. Taatilah pemerintah bukan bermaksud dengan membuta tuli kepada sesiapa atau mana-mana sahaja pemimpin tetapi yang terbaik di kalangan kita seperti yang disebut di dalam al-Quran. Wallahualam...

Tuesday, October 13, 2009

..::Pembentukan Keluarga Islam Berkualiti::..

Keluarga adalah satu komponen yang terdiri daripada gabungan beberapa manusia yang mempunyai hak dan tanggungjawab bersama dalam menentukan halatuju dan kejayaan sesebuah keluarga. Ianya terbentuk daripada sepasang suami isteri (lelaki & perempuan) yang telah disatukan mengikut hukum syarak. Allah SWT telah berfirman di dalam surah ar-Ruum, 30:21 yang bermaksud:
"dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir."
Secara umumnya, boleh dikatakan bahawa keluarga Islam kini berhadapan dengan pelbagai masalah antaranya masalah akhlak, pendidikan dan pengukuhan minda, kedudukan ekonomi, sosiobudaya dan sebagainya. Kesilapan dan punca utama masalah-masalah ini adalah daripada sikap ketidakprihatinan ahli keluarga itu sendiri dalam membentuk sebuah keluarga Islam yang berkualiti.
Masalah-masalah ini sebenarnya mencerminkan kepincangan pergaulan dan komunikasi dalam keluarga Islam sekaligus membentuk satu imej negatif pada pandangan masyarakat bukan Islam. Ia menjadi satu bentuk cabaran kepada keluarga Islam untuk menerapkan satu sistem yang mantap dan benar-benar mengikut hukum syarak bagi membentuk institusi keluarga Islam yang berkualiti.
Oleh yang demikian, selain daripada institusi keluarga itu sendiri, masyarakat juga berperanan untuk sama-sama membantu dalam usaha mengurangkan masalah akhlak, pendidikan, ekonomi, sosiobudaya dan sebagainya itu daripada terus merebak seterusnya membendung institusi keluarga daripada segala bahaya dan gejala buruk. Peranan masyarakat dalam melahirkan kecemerlangan ummah yang berkualiti ini meliputi :
1- mewujudkan keperibadian dan ketrampilan akhlak yang mulia
Sebuah ketamadunan akan runtuh sekiranya akhlak diabaikan. Dalam sejarah Islam boleh dilihat bagaimana Rasulullah SAW begitu menitikberatkan kepentingan akhlak mulia sejak awal tugas Baginda sebagai Rasul di Mekah. Baginda menyeru manusia berkata benar, memenuhi janji, bersikap baik terhadap jiran, menjauhi kejahatan, tidak menumpahkan darah orang yang tidak berdosa, tidak berbohong dan sebagainya. Oleh itu, ibadah dalam Islam bukan sekadar pengabdian kepada Allah SWT semata-mata tetapi harus menghasilkan nilai-nilai akhlak dan moral yang tinggi dalam kehidupan seorang manusia. Akhlak dapat dibahagikan kepada tiga iaitu akhlak manusia terhadap Allah, akhlak manusia terhadap alam sekitar dan akhlak manusia terhadap manusia. Akhlak manusia terhadap manusia pula dibahagikan kepada empat iaitu terhadap diri sendiri, keluarga, jiran dan masyarakat.
2- melaksanakan konsep amar makruf nahi mungkar
Allah SWT berfirman di dalam surah ali-'Imran, 3:104 yang bermaksud:
"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah ( buruk & keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."
Amalan amar makruf dan nahi mungkar ini sungguh penting hinggakan Islam menjadikan perlaksanaannya sebagai ukuran keimanan seseorang dalam kehidupan bermasyarakat. Seorang muslim yang mampu melaksanakan amalan ini dinilai sebagai seorang yang telah melakukan perjuangan (jihad). Sebaliknya seorang muslim yang bencikan kemungkaran tetapi hanya berdiam diri tetap dinilai sebagai Muslim yang lemah imannya.
3- mewujudkan suasana cintakan ilmu pengetahuan
Ilmu adalah salah satu alat perubahan yang menggalakkan kesedaran untuk berubah daripada hidup dalam kegelapan kepada cahaya, tidak beramal kepada beramal, lemah kepada kuat atau mundur kepada maju. Ilmu juga akan mengangkat darjat satu-satu kaum daripada kehinaan kepada kemuliaan. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Mujaadalah, 58:11 yang bermaksud:
"...supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan."
4- menyuburkan perasaan belas kasihan
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud: " Sesiapa yang tidak bersifat belas kasihan terhadap sesama manusia dan semua makhluk Allah, maka ia tidak akan dikasihi oleh Allah SWT". Oleh itu, jelas sekali bahawa agama Islam ialah agama yang bersifat lemah lembut. Sifat belas kasihan dalam kehidupan manusia dimanifestasikan dalam bentuk kasih sayang orang dewasa terhadap anak-anak kecil, golongan muda yang sentiasa menghormati orang tua dan orang kaya sentiasa menghulur sedekah kepada si miskin kerana rasa simpati dan kasihannya. Itulah penghayatan sebenar kehidupan masyarakat penyayang atau "caring society".
5- menanam sikap tolong-menolong
Sikap tolong-menolong merupakan asas kehidupan masyarakat Islam. Setiap anggota masyarakat wajib tolong-menolong di antara satu sama lain untuk mengelakkan bencana dan mencapai kepentingan bersama. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Maa'idah, 5:2 yang bermaksud:
"...Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)".
6- menyuburkan sifat kekitaan dan jemaah
Sifat ini boleh disuburkan dengan memupuk kesedaran tentang keperluan masyarakat setempat serta mewujudkan saluran berkomunikasi di antara satu sama lain. Kewujudan saluran komunikasi ini akan menimbulkan kesedaran tentang kepentingan berjemaah. Tempat yang paling sesuai untuk melakukan amalan ini adalah seperti di masjid.
7- mempamerkan kepimpinan melalui teladan
Kepimpinan adalah satu aspek penting dalam menyempurnakan segala urusan. Oleh itu, pemimpin perlulah mempunyai nilai kepimpinan yang tinggi seperti akhlak dan peribadi yang mulia, bertanggungjawab, tenang, tidak tamak dan bongkak, sanggup berkorban, berdisiplin dalam menghadapi cabaran dunia dan nafsu, menjauhkan diri daripada dosa serta memiliki sifat-sifat mulia. Pemimpin yang mempunyai ciri-ciri yang baik pasti menjadi ikutan orang yang dipimpin.
Oleh itu, bagi merealisasikan pembangunan keluarga Islam yang cemerlang bukanlah satu perkara yang mudah. Usaha ini memerlukan kerjasama dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak. Dengan adanya kesedaran semua pihak, insyaAllah pembentukan keluarga Islam yang berkualiti dapat direalisasikan dalam kehidupan masyarakat Malaysia.

Thursday, October 08, 2009

..::Menganiaya Anak Yatim::..

Dalam era yang serba maju ini, terdapat lagi segelintir masyarakat yang mengeksploitasi golongan yang serba kekurangan untuk mendapatkan sumber kewangan bagi kepentingan diri sendiri. Sepertimana yang kita lihat, terdapat ramai kanak-kanak samaada lelaki mahupun perempuan yang sering membawa bersama sebuah beg yang berisi ayat suci al-Quran, kalender dan sebagainya sambil berjalan memasuki kedai ke kedai, berjalan dari meja ke meja untuk menawarkan barang jualannya. Mereka ini adalah anak-anak yatim yang dipergunakan untuk meminta sedekah oleh segelintir golongan yang tidak bertanggungjawab.

Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nisa:10 yang bermaksud:

"Sesungguhnya, orang-orang yang memakan harta anak yatim dengan aniaya, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka, dan mereka pula akan di masukkan ke dalam api neraka yang menyala-nyala".

Perbuatan mempergunakan anak-anak yatim untuk kepentingan diri sendiri adalah satu perbuatan yang amat keji dan tercela. Islam sentiasa menyuruh umat-umatnya supaya mengasihi dan bersikap baik terhadap anak-anak yatim seperti melayan anak sendiri, bukan menganiaya serta mempergunakan mereka. Sedangkan setiap kebaikan akan dibalas dengan kebaikan, tentu sahaja setiap keburukan juga akan dibalas dengan keburukan. Doa anak-anak yatim adalah antara doa-doa yang mudah dimakbulkan.

Oleh itu, hendaklah orang yang berakal itu takut kepada Tuhannya dalam memelihara anak yatim dan hartanya. Dalam tafsir al-Qurthubi, dari Abi Said al-Khudri, dari Nabi SAW, baginda bersabda :

"Di malam aku diisrakkan, ku lihat sekelompok kaum, bibirnya seperti bibir unta dan ada orang yang ditugaskan membukanya lalu memasukkan batu-batu dari neraka ke mulutnya hingga keluar dari bawah (dubur) nya. Aku bertanya, "Wahai Jibrail, siapakah mereka itu?" Jibrail menjawab, "Itulah orang-orang yang memakan harta anak yatim dengan aniaya".

Sebagai renungan kepada semua dan memperingati diri sendiri, menganiaya anak yatim dan hartanya merupakan antara dosa-dosa besar yang perlu kita elakkan..Wallahualam..

Thursday, October 01, 2009

..::SYAWAL bulan untuk kita menilai diri::..

Kehangatan Aidilfitri masih dirasai oleh seluruh umat Islam kerana ia merupakan anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya yang dapat menunaikan ibadah puasa sepanjang Ramadhan yang lalu dengan penuh keimanan dan keikhlasan.

Malah, galakan berpuasa sunat enam hari ketika kegembiraan menyambut Aidilfitri pada Syawal bagaikan isyarat bahawa pemergian Ramadhan tidak bererti terhentinya proses mendidik diri serta mengawal nafsu agar terus beribadat seperti puasa sunat, membaca al-Quran dan sebagainya.

Sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah SAW: daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi Muhammad SAW bersabda: "sesiapa yang berpuasa pada Ramadhan dan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal, maka ia seperti berpuasa sepanjang tahun". (Riwayat Muslim)

Dalam kegembiraan kita menyambut kedatangan Syawal dengan aktiviti kunjung mengunjung dan sebagainya, janganlah lupa dengan kemuliaan bulan ini. Kedatangan Syawal merupakan kehilangan besar sebahagiaan kenikmatan untuk beribadat, walaupun ibadat puasa sunat boleh diteruskan pada bulan Syawal, tetapi keseronokan bertarawih dan Lailatul Qadar tidak dapat dinikmati lagi sehingga Ramadhan akan datang.

Dan kerana itulah, bulan Syawal ini menjadi bulan untuk kita menilai diri seperti menilai aspek kesabaran dan mengawal emosi. Sepanjang Ramadhan, kita dilatih bersabar dalam semua aspek antaranya menahan diri daripada melakukan maksiat dan bersabar dalam mengerjakan ibadat. Apakah kita masih berjaya mengawal semua itu selepas berlalunya Ramadhan..??

Seterusnya menilai kemurahan hati dan melakukan amal kebajikan. Sepanjang bulan Ramadhan, apa yang dapat kita lihat ramai umat Islam suka bersedekah dan melakukan amal kebajikan seperti mengadakan jamuan berbuka puasa dan sebagainya. Tetapi, selepas berlalunya bulan mulia itu, adakah ianya terus berlaku..?? Mari kita sama-sama merenung diri kita sendiri, adakah kita termasuk dikalangan orang-orang yang suka melakukan amal kebajikan semasa berada di bulan mulia sahaja ataupun sebaliknya...

Mencintai dan menghidupkan amalan membaca al-Quran sering berlaku pada bulan Ramadhan. Seperti yang kita sedia maklum, Ramadhan adalah saat paling sesuai untuk menimba dan menggali sebanyak mungkin rahsia kemuliaan dan keagungan al-Quran sebagai petunjuk bagi kehidupan manusia. Sabda Rasulullah SAW: "Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran itu akan menjadi syafaat (penolong) bagi pembacanya di hari kiamat". (Riwayat Muslim)

Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah, dan janganlah kamu batalkan (merosakkan) amal-amal kamu".
(Surah Muhammad:33)