Thursday, October 15, 2009

..::Perbandingan Undang-undang Jenayah Islam Dengan Undang-undang Ciptaan Manusia::..

Walaupun pada dasarnya Undang-undang jenayah Islam dengan undang-undang ciptaan manusia mempunyai matlamat yang agak sama iaitu untuk melindungi kepentingan umum serta memberi pengajaran kepada pelaku kesalahan itu sendiri agar tidak mengulangi kesilapannya lagi, tetapi jika diperhatikan secara halus dan lebih mendalam, kita akan dapati ada beberapa perbezaan yang terdapat pada undang-undang tersebut. Antaranya ialah:

1- Undang-undang Jenayah Islam adalah undang-undang ciptaan Allah S.W.T. yang bersifat Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui tentang sesuatu.
Sudah tentu undang-undang yang dicipta-Nya itu sesuai untuk setiap masa dan tempat. Oleh kerana itu, undang-undang Islam dalam semua bidang tidak berubah dan bertukar mengikut masa dan tempat. Manakala Undang-undang ciptaan manusia sentiasa menerima perubahan mengikut keadaan, masa dan tempat serta kemahuan orang yang membuat undang-undang.

Setiap Muslim wajib mempercayai kebenaran undang-undang ciptaan Allah dan mematuhinya, serta wajib berusaha untuk menegakkannya. Kalaulah ada seorang warganegara yang berani mengkritik undang-undang negaranya, ianya boleh dianggap sebagai menghina dan mempersendakan undang-undang tersebut, maka lebih besar kesalahannya jika seorang Islam berani mengkritik undang-undang Islam sebagai ketinggalan zaman dan tidak sesuai dengan masa. Orang itu bukan sahaja mencabar kebijaksanaan dan kekuasaan Allah SWT, tetapi boleh menjejaskan imannya sebagai seorang muslim. Undang-undang Islam adalah berasaskan pada sumber yang utama iaitu al-Quran al-Karim.

Allah SWT mengingatkan umat Islam supaya mengikut hukum Allah dalam memutuskan suatu perkara, seperti di dalam firman-Nya dalam surah al-Maidah ayat 48, yang bermaksud:

"Dan Kami (Allah) telah turunkan kepada kamu kitab al-Ouran dengan membawa kebenaran, maka hukumlah perkara mereka menurut apa yang diturunkan Allah dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka dengan membelakangkan kebenaran yang telah datang kepada kamu".
Oleh itu, mereka yang memutuskan sesuatu tidak mengikut hukum Allah akan termasuk dalam salah satu golongan yang disebutkan dalam ayat al-Quran dalam surah al-Maidah ayat 44, yang bermaksud:

"Dan barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan Allah maka mereka itu adalah orang-orang kafir".

2- Undang-undang Islam memandang manusia itu sama rata.
Tidak ada bezanya di antara orang yang berpangkat tinggi atau rendah, miskin atau kaya, pihak yang berkuasa ataupun rakyat biasa. Siapa sahaja yang melakukan kesalahan tetap akan menerima hukuman. Tidak ada pengecualian atau keistimewaan diberikan kepada pihak-pihak yang tertentu. Hukuman dikenakan secara menyeluruh kepada semua golongan masyarakat yang sudah mempunyai cukup tanggungjawab (mukallaf) terhadap kesalahan yang dilakukan.

Banyak keterangan yang membuktikan keadilan undang-undang Islam. Pada zaman Rasulullah SAW ada seorang perempuan bangsa Makhzumi yang akan dipotong tangannya kerana kesalahan mencuri tetapi datang seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w meminta supaya perempuan itu tidak dihukum. Maka Rasulullah SAW bersabda di khalayak ramai yang bermaksud:
"Sesungguhnya telah binasa bangsa yang sebelum kamu kerana apabila seorang yang berkedudukan tinggi mencuri dibiarkan tetapi apabila orang yang berketurunan rendah mencuri dipotong tangannya."
(Riwayat Muslim)

Pada masa Sayidina Umar menjadi Khalifah, beliau telah menjatuhkan hukuman yang lebih berat kepada anaknya sendiri kerana kesalahan minum arak sebagai memberi ingatan kepada keluarganya bahawa undang-undang Islam tidak memberi keistimewaan kepada keluarga pemerintah dan untuk menunjukkan keadilan Islam. Manakala dalam undang-undang ciptaan manusia, walaupun pada umumnya untuk menjaga kepentingan orang ramai, tetapi sebaliknya, ia digubal untuk menjaga kepentingan suatu golongan sahaja. Sebab itu dalam mana-mana undang-undang positif (dunia) terdapat fasal-fasal yang memberikan hak keistimewaan kepada golongan tertentu ataupun orang-orang perseorangan dengan tidak ada undang-undang yang boleh mendakwanya.

3- Undang-undang Islam berhubung rapat dengan soal akhlak atau perasaan hati.
Islam menganggap budi pekerti yang baik sebagai sendi masyarakat. Oleh kerana itu tiap-tiap perbuatan yang bertentangan dengan akhlak tetap akan menerima balasan dan hukuman, sama ada di dunia atau di akhirat. Mana-mana kes yang mempunyai bukti dan keterangan yang lengkap akan dihukum di dunia ini, manakala kes-kes yang tidak terang dan tersembunyi, ia tetap akan menerima hukuman di hadapan Hakim Yang Maha Adil.

Berbanding dengan undang-undang positif (dunia) yang boleh dikatakan mengetepikan langsung soal akhlak. Undang-undang positif (dunia) akan mengambil tindakan kepada seseorang hanya apabila perbuatannya itu membawa kerosakan secara langsung kepada orang lain. Sebagai contohnya, perbuatan zina yang tidak dianggap salah oleh undang-undang positif kecuali jika sekiranya dengan cara perkosaan atau tanpa kerelaan sebelah pihak. Undang-undang Islam menganggap perbuatan zina itu adalah perbuatan keji yang bertentangan dengan akhlak walaupun ia dilakukan dengan kerelaan kedua-dua belah pihak. Pada zahirnya zina yang dilakukan dengan kerelaan kedua-dua belah pihak itu tidak ada pencabulan tetapi pada hakikatnya perbuatan itu adalah mencabuli kehormatan manusia iaitu dengan merosakkan keturunan umat manusia.
Begitu juga perbuatan minum arak, undang-undang Islam memandang perbuatan itu satu kesalahan walaupun si peminum itu tidak sampai mengganggu ketenteraman orang ramai. Sedangkan undang-undang ciptaan manusia tidak menganggap meminum arak satu kesalahan melainkan jika peminum tersebut berada di khalayak ramai dan mengganggu ketenteraman orang ramai. Pada lahirnya memanglah perbuatan itu tidak mencerobohi sesiapa, tetapi pada hakikatnya minuman arak itu boleh merosakkan akal fikiran manusia. Apabila akal sudah rosak dengan sebab minum arak, ia boleh menjadi punca kepada perbuatan keji yang akhirnya membahayakan masyarakat umum.

Pertalian yang rapat di antara undang-undang jenayah Islam dengan masalah-masalah akhlak, akan menjadikan seorang mukmin itu merasai bahawa tiap langkah dan tindak-tanduknya sentiasa dalam perhatian dan ia akan merasa bersalah. Perasaan ini akan menyebabkan setiap individu muslim menjauhkan diri dan melakukan sebarang kesalahan.

Tujuan pelaksanaan undang-undang mengikut Islam ialah untuk menjaga lima prinsip asas manusia yang perlu diberi perlindungan. Lima prinsip tersebut ialah:
1- Melindungi kepentingan agama Islam adalah salah satu kemuliaan yang diberikan kepada manusia. Oleh itu iktiqad orang yang beriman, mestilah dibetulkan, kebebasan beragama mestilah diberikan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Islam.
2- Menjaga kehormatan nyawa bermakna memberi hak untuk hidup yang mulia. Termasuk dalam jumlah ini menjaga anggota tubuh badan daripada dirosakkan, juga dikehendaki menjaga maruah dan kehormatan danpada dicerobohi dan dihina.
3- Menjaga akal fikiran daripada rosak supaya tuannya tidak membebankan masyarakat, dan menjadi punca kejahatan. Oleh kerana itu Islam menghukum peminum-peminum arak dan seumpamanya.
4- Menjaga keturunan manusia supaya setiap bayi yang dilahirkan akan dididik dengan baik oleh kedua-dua ibu bapanya. Oleh kerana itulah, diadakan peraturan nikah kahwin dalam Islam.
5- Menjaga harta benda juga suatu kewajipan, kerana itulah hukuman yang berat dikenakan ke atas orang-orang yang merosakkan harta benda sama ada dengan mencuri, menipu, rasuah dan sebagainya. Islam mengadakan peraturan yang sewajarnya dalam mengawal harta benda orang Islam.

Dengan sebab itulah, ulama Fiqh membahagikan kesalahan dan hukuman dalam undang-undang Islam kepada tiga bahagian iaitu hukum Hudud, Qisas dan Takzir.

No comments: