Thursday, October 15, 2009

..::Tinggalkan yang tidak berguna::..

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Daripada keelokan Islam seseorang ialah dia meninggalkan perkara-perkara yang tidak berkaitan (berguna) dengannya". (Riwayat at-Tirmizi dan lainnya)
Hadith di atas mengandungi himpunan adab-adab baik yang mesti dimiliki oleh setiap Muslim. Umat Islam wajib memelihara akhlak dan budi pekerti mulia sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama terbaik dan penganutnya sebagai umat teratas. Di dalam hadith ini, Rasulullah SAW menerangkan mengenai keelokan ciri-ciri Islam seorang Muslim yang menyempurnakan lagi penghayatannya terhadap agama ini.
Dalam Islam, selain kewajiban berbentuk perintah dan larangan, terdapat banyak anjuran supaya kita berusaha melakukan penambahbaikan dengan memiliki sifat-sifat terpuji dan melakukan perkara-perkara sunat. Di antara kecantikan peribadi seseorang muslim ialah dia meninggalkan apa jua perkara yang tidak memberi manfaat kepada dunia dan agamanya sama ada berupa perkataan yang sia-sia atau perbuatan kosong yang hanya menghabiskan masa dan umurnya dengan percuma.Setiap tindak-tanduk seharian kita terbahagi kepada empat iaitu:
1- Melakukan perkara yang berguna
2- Melakukan perkara yang tidak berguna
3- Meninggalkan perkara yang berguna
4- Meninggalkan perkara yang tidak berguna
Perkara pertama dan keempat adalah yang disuruh oleh agama, manakala perkara yang kedua dan ketiga adalah sebaliknya.
Diriwayatkan oleh Abu Zar ra bahawa, Rasulullah SAW bersabda mengenai apa yang disebutkan di dalam Suhuf Nabi Musa as : "Orang yang berakal selama mana akalnya tidak dikalahkan mempunyai beberapa saat iaitu satu saat untuk bermunajat kepada Tuhannya, satu saat untuk menghitung diri, satu saat untuk memikirkan ciptaan Allah dan satu saat lagi untuk urusan keperluan atau makan minumnya. Orang yang berakal tidak berusaha melainkan untuk tiga perkara, iaitu berbekal untuk akhirat, bekerja untuk kehidupan dan berlazat-lazat dengan benda yang tidak haram. Orang yang berakal selama mana akalnya tidak dikalahkan berkewajipan melihat masanya dan memelihara lidahnya. Sesiapa yang membandingkan perkataan dan amalnya, nescaya sedikitlah perkataannya kecuali pada perkara yang berguna".
Sabda Rasulullah saw bermaksud, "Setiap perkataan anak Adam adalah bencana ke atasnya dan bukan kebaikan untuknya kecuali menyuruh kepada kebaikan, mencegah daripada kemungkaran dan zikir kepada Allah SWT". (Riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Dalam menghuraikan hadith di atas, ulama banyak memperkatakan mengenai perkara-perkara yang bersangkutan dengan percakapan sekalipun pengertian hadith ini adalah lebih umum. Ini adalah disebabkan akibat buruk yang banyak ditimbulkan oleh lidah. Diriwayatkan bahawa, sekumpulan lelaki menyatakan kehairanan mereka terdapat hadith tersebut kepada Sufian ath-Thauri ra, lalu beliau berkata, "Apakah yang menghairankan kamu? Tidakkah Allah telah berfirman (bermaksud) : tiada kebaikan pada kebanyakan daripada bisikan mereka kecuali sesiapa yang menyuruh melakukan sedekah atau kebaikan atau mendamaikan di antara manusia". (Surah an-Nisa', ayat 114)
Oleh yang demikian, meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan atau tidak mendatangkan kebaikan dalam urusan dunia dan akhirat merupakan tanda kesempurnaan dan keelokan peribadi seseorang muslim. Ini termasuk memelihara diri daripada membicarakan perkara-perkara yang tiada faedahnya, malah hanya membuang masa sahaja, bahkan boleh mendatangkan dosa dan menimbulkan kekeruhan dalam hubungan sesama manusia. Justeru orang tua-tua mengingatkan kita dengan pesanan mereka, "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya" dan "Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa".

No comments: