Thursday, October 15, 2009

..::Perlaksanaan al-Wadi'ah dalam akaun simpanan::..


Al-Wadi’ah merupakan produk penawaran daripada salah satu instrument kewangan dalam Islam. Konsep al-Wadi’ah dapat diertikan dengan pelbagai makna produk insurans di antaranya adalah simpanan. Dari satu sudut lain, al-Wadi’ah mempunyai akad yang mengandungi unsur kebajikan dan persahabatan di antara pemilik dan pelaksana atau institusi yang menjaga barangan tersebut, yang tidak akan terlepas daripada insurans sebagai institusi penjagaan moden yang direalisasikan secara benar dan sesuai dengan syara’.

Di sini, Al-Wadiah merupakan alternatif tempat simpanan bagi umat Islam atau bukan Islam sejak Islam tidak mengizinkan pembayaran dan penerimaan bunga yang kebanyakannya terdapat pada tabungan bank konvensional membayar bunga.

Para fuqaha telah bersepakat bahawa al-Wadi’ah adalah suatu bentuk akad muamalah yang diharuskan oleh syariah Islam. Namun demikian, mereka telah berselisih pendapat mengenai hukum asal jika dilihat dari segi hukum taklifi dan ini berdasarkan kepada empat mazhab yang masyhur.

Hanafiyyah memberi hukum bagi pemegang al-Wadi’ah adalah mustahab kerana ia merupakan pertolongan kepada saudaranya. Bahkan ia adalah perkara yang sunat sesuai dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 2, yang bermaksud:

“…..dan hendaklah kamu tolong menolong untuk membuat kebajikan dan bertaqwa…..”

Malikiyyah pula mengatakan bahawa hukum al-wadi’ah dilihat dari zatnya adalah harus bagi penyimpan dan pemegang kerana kedua-duanya mempunyai hak yang sama. Tetapi hukumnya menjadi wajib sekiranya penyimpan itu merasa takut samada kerana hilang atau rosak apabila tidak disimpan, di sertai dengan wujudnya orang yang berkemampuan untuk menjaganya. Dan akan menjadi haram apabila harta yang disimpan akan dicuri atau dirampas. Oleh itu, wajib dipulangkan kepada pemiliknya dengan segera.

Shafi’iyyah pula berpendapat, diharuskan memegang al-wadi’ah bagi sesiapa yang mampu menjaganya dan dapat menyerahkan amanah kepada ahlinya kerana ia merupakan pertolongan yang diperintahkan. Apabila tidak ada sesiapa yang dapat melakukan selainnya, dan takut jika tidak diterima akan menjadi rosak, maka jelas baginya untuk memegang al-wadi’ah.

Hanabilah berpendapat bahawa memegang al-wadi’ah adalah harus bagi sesiapa yang mengetahui dirinya boleh dipercayai dan berkemampuan untuk menjaganya, dan akan menjadi makruh apabila berlaku sebaliknya melainkan jika pemiliknya redha samada setelah mengetahui hal tersebut ataupun tidak bagi menafikan penipuan.

Jelaslah di sini bahawa, harus bagi seseorang menyerahkan hartanya kepada orang lain untuk disimpan demi keselamatannya sesuai dengan salah satu matlamat syara’ iaitu memelihara harta. Namun terdapat empat perincian hukum dalam menerima al-wadi’ah iaitu wajib bagi orang yang mampu dan merupakan satu-satunya dan orang yang menyerahkan dalam keadaan terpaksa. Sunnah bagi orang yang sanggup menjaga amanah dan haram bagi orang yang tidak mampu melaksanakan sebagai mana semestinya. Dan seterusnya makruh bagi orang mampu tetapi tidak percaya pada dirinya sendiri sehingga menganggap tidak bertanggungjawab terhadap barang yang diserahkan.

Islam tidak akan menghalalkan sesuatu perkara dengan mudah tanpa adanya hikmat-hikmat dan kebaikan yang berlaku. Terdapat beberapa hikmat dalam pensyariatan al-wadi’ah antaranya ia merupakan kemudahan yang memberi jaminan keselamatan harta kepada manusia. Apabila pemilik harta inginkan penjagaan harta yang lebih selamat dan terjamin samada ketika ingin bermusafir ataupun sebaliknya, ia boleh menyerahkan penjagaan hartanya kepada individu atau pihak-pihak tertentu yang lebih dipercayai dan berkemampuan.

Selain itu, al-wadi’ah juga mewujudkan sikap saling tolong menolong sesama manusia dan dapat memupuk kasih sayang dalam mengeratkan hubungan silaturahim. Ia juga melahirkan sifat bertanggungjawab dan amanah sesama manusia dalam melaksanakan sesuatu tugas.

Allah SWT sentiasa memberikan kemudahan kepada hamba-hambanya dalam melaksanakan sesuatu perkara yang tidak bertentangan dengan kehendak syara’ seperti al-wadi’ah yang memerlukan seseorang itu bersikap jujur dan amanah dalam melaksanakan tugas yang diberikan kepadanya. Maka tidak menunaikan amanah atau melakukan khianat akan menghilangkan kepercayaan seseorang kepada seseorang malah bukan sahaja balasan dunia yang diterima bahkan juga balasan siksa di akhirat kelak. Wallahualam~~

2 comments:

ulfa said...

ehm, DR fazrin, saya ada satu soalan, ape hukum membeli anjing untuk dijadikan sebgai penjaga kebun daripada dimakan monyet?saya finin la DR...tolong la saya yang kebuntuaan ni.

Unknown said...

wadiah ni simpan harta ke?mcm simpan harta kita di bank